MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

5/29/08

MMMM bakal menghadap raja-raja Melayu

Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) akan menghadap raja-raja Melayu dan Yang Dipertua negeri dalam jangka waktu terdekat ini, bagi mempersembahkan dan menerangkan resolusi yang dipersetujui untuk perhatian mereka.

Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sehingga kini MMMM telah mengutus surat temu janji kepada pihak berkenaan bagi tujuan tersebut.

''Nampaknya Alhamdulillah, surat-surat itu sudah mendapat maklum balas daripada Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

''Kita turut menerima maklum balas dari Yang Dipertuan Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman manakala yang lain akan menyusul kemudian,".

Zainal Abidin berkata, langkah menghadap pihak istana bertujuan mempersembahkan dan menerangkan isi kandungan resolusi yang dipersetujui menerusi kongres tersebut untuk perhatian mereka.

''Ini adalah berikutan titah Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail supaya MMMM menghadap raja-raja Melayu bagi tujuan tersebut," katanya.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan raja-raja negeri lain meneliti sendiri setiap resolusi yang dipersetujui 2,100 peserta yang mewakili 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pada Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Persada Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurutnya, setelah bersidang selama tiga hari, jawatankuasa itu yang diketuai Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein; Datuk Yahya A.Jalil; Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan beliau telah menghadap Sultan Johor, Sultan Iskandar pada 4 Mei lepas.

Pada majlis menghadap di Istana Bukit Serene itu, katanya, kegembiraan Sultan Johor jelas kelihatan apabila baginda telah membaca dan meneliti dengan serius resolusi berkenaan.

5/28/08

Pembangkang setuju rujuk Sultan jawatan Majlis Agama Islam

PAKATAN Rakyat bersetuju Sultan sebagai ketua agama Islam negeri perlu dirujuk terlebih dulu berkaitan semua jawatan yang ada hubung kait dengan Majlis Agama Islam Negeri.

Mengikut kenyataan bersama yang ditandatangani tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang diedarkan kepada media di Parlimen, semalam, semua pihak harus menerima bahawa seseorang Menteri Besar mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan mana-mana pegawai eksekutif di negerinya.

"Namun bagi jawatan yang berkaitan dengan Majlis Agama Islam, Sultan sebagai ketua agama negeri, seharusnya dirujuk terlebih dulu," kata Wan Azizah ketika membacakan kenyataan itu di lobi Parlimen.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat menegaskan bahawa pendirian yang dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai isu pemindahan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, sebelum ini adalah berdasarkan perspektif undang-undang, bukannya bertujuan menghina Sultan Perak.

"Kami menerima penjelasan Karpal Singh bahawa beliau tidak bertujuan menghina Sultan. Kami berharap semua pihak akan menerimanya dan berhenti segera dari mengembar-gemburkan isu itu sehingga boleh menimbulkan ketidakstabilan dan ketegangan kaum," katanya.

Wan Azizah berkata, Pakatan Rakyat mendukung kedudukan Raja-Raja sebagai Raja Berperlembagaan, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami, pemimpin Pakatan Rakyat kesal dan bimbang kerana kontroversi melanda mengenai kuasa serta kedudukan Raja-Raja dipolitikkan secara besar-besaran oleh media," katanya.

5/27/08

Perkukuh hubungan Malaysia-Laos


YANG DI-PERTUAN AGONG Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mendengar penerangan daripada Presiden Persatuan Kraftangan, Rasanikone Nanong (tengah) mengenai proses menghasilkan sutera ketika melawat Galeri Ekkalak Loa di Vientiane, Laos semalam. Lawatan Seri Paduka ke Laos selama tiga hari adalah atas jemputan Presiden negara itu, Chounmmaly Sayasone. Lawatan ini menjadi detik bersejarah kerana ia adalah lawatan pertama Ketua Negara Malaysia ke negara itu dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara.

FAM nafi hubungan dengan AFC retak

MINTA PENJELASAN: Sultan Ahmad Shah berkenan menerima mengadap Ismail Sobri (kiri) untuk membincangkan status Piala Juara-Juara Belia di Istana Pahang, Jalan Persiaran Raja Chulan, semalam



PEMBABITAN Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kontroversi penganjuran Piala Juara-juara Belia (CYC), jelas adalah antara faktor yang membangkitkan rasa tidak puas hati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai penganjuran kejohanan itu.

Namun, badan induk itu tetap bersikap diplomasi mengenai hubungannya dengan konfederasi itu dan menafikan terdapatnya kekeruhan hubungan antara mereka walaupun setakat ini AFC masih berdiam diri mengenai kontroversi CYC.

Semalam, Presiden FAM Sultan Ahmad Shah sendiri menafikan kemungkinan terdapat keretakan hubungan antara FAM dan AFC, malah menegaskan kedua-dua pihak tetap mempunyai hubungan dua hala yang baik.

“Tidak ada masalah antara FAM dan AFC, saya kenal rapat dengan Mohamad Hammam (Presiden AFC) dan kami sentiasa mengadakan kerjasama yang baik demi kemajuan bola sepak Asia, ” titah baginda pada sidang media di Istana Pahang semalam.

Sikap membisu dan berpeluk tubuh AFC mengenai isu CYC jelas menimbulkan persoalan, walhal konfederasi itu yang mula menimbulkan kontroversi penganjuran CYC tahun ini apabila menawarkan bantuan kepada promoter CYC, Gifted Group.

Tindakan Gifted Group menerima pelawaan itu pula seolah `dihalalkan' Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerana dalam kontrak perjanjian di antara kedua-dua pihak itu yang bernilai RM17 juta setahun, - memberikan hak mutlak `dari segi teknikal dan penganjuran kepada Gifted.'

FAM kelihatan masih menghargai hubungannya dengan AFC, dengan tidak mengkritik mereka secara terbuka walaupun konfederasi itu kerap tidak mempedulikan kepentingan FAM dalam pelbagai isu, bukan saja membabitkan CYC.

TINGKATKAN HUBUNGAN DAGANG MALAYSIA-LAOS

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, berharap hubungan dagang dua hala antara Malaysia dan Laos dapat ditingkatkan ke paras yang lebih tinggi di bawah dasar mesra perniagaan yang diamalkan kedua-dua kerajaan. Seri Paduka bertitah, untuk tujuan itu, kekerapan pertukaran lawatan di kalangan pemimpin, pegawai kerajaan dan rakyat kedua-dua negara perlu diteruskan dan digalakkan.

Jalinan hubungan dalam pelbagai bidang antara Malaysia dengan Laos sejak 42 tahun lalu juga perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan lagi menerusi pertemuan dan perbincangan dengan penuh semangat persefahaman dan persahabatan, titah Seri Paduka pada majlis jamuan makan malam negara yang dianjurkan Presiden Laos, Choummaly Sayasone dan isteri, Keosaychay Sayasone, di Loa Plaza Hotel, Vientiane, Laos.

“Beta percaya bahawa pengukuhan hubungan di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara turut menyumbang kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang penting dalam pertumbuhan ekonomi kedua-dua Negara. Ia merangkumi bidang seperti perdagangan, pelaburan, pelancongan, pembangunan sumber manusia, kewangan, perkhidmatan, pendidikan dan pertanian,” titah Seri Paduka

Dengan cara itu, baginda percaya lebih ramai lagi pedagang dan pelabur dari Malaysia akan datang ke Laos untuk meninjau peluang pelaburan yang menarik di negara itu. Tuanku Mizan bertitah, kunjungan yang dilakukan oleh baginda itu membuktikan bahawa Laos adalah sebuah negara sahabat yang penting bagi Malaysia dan ia jelas menunjukkan hasrat Malaysia untuk terus mempertingkatkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama yang sedia terjalin dengan baik.

Baginda turut melahirkan rasa kagum melihat kesungguhan serta kegigihan kerajaan dan rakyat Laos dalam usaha membangunkan negara untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran ekonomi.

“Dengan usaha gigih yang dilaksanakan, termasuk pelaksanaan Rancangan Lima Tahun yang keenam serta penambahbaik peraturan perdagangan dan iklim pelaburan di Laos, beta percaya hasrat negara Laos untuk menjadi sebuah negara sedang membangun pada 2015 pasti akan dapat dicapai,” titah baginda.
Pada akhir titah baginda, Tuanku Mizan turut menjemput Choummaly dan isteri untuk membuat lawatan balas ke Malaysia

5/25/08

Pertingkat pendidikan kesihatan – SULTAN PERAK

CEMAR DULI: Sultan Azlan Shah diiringi (dari kiri) Mohd Nizar dan Tiong Lai ketika berangkat ke majlis perasmian Klinik Kesihatan Taiping, di Taiping

TAIPING: Pendekatan lebih berkesan dan strategik mesti dilaksanakan bagi mengelak negara menghadapi tanggungan kewangan yang berat bagi membiayai kos kesihatan dan perubatan rakyat negara ini.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah perbelanjaan kesihatan dan perubatan yang semakin tinggi akan mengikat dan menghalang sumber kewangan negara daripada digunakan untuk perkara serta urusan lain yang lebih produktif.

Titah baginda, antara pendekatan yang perlu ditingkatkan ialah pencegahan melalui pendidikan berkesan.

"Pelajar perlu disemai dengan gaya hidup sihat dari segi pemakanan seimbang, mengamalkan riadah harian, cukup waktu istirahat dan tidur, tidak merokok dan menghindarkan diri daripada mengambil alkohol secara keterlaluan. Negara juga mungkin perlu memperkenal skim rawatan kesihatan dan perubatan yang lebih saksama supaya belanja kesihatan dan perubatan negara benar-benar diberikan kepada warga yang miskin dan berpendapatan rendah," titah baginda pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Taiping di sini, semalam. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Klinik Kesihatan Taiping mula dibina pada Februari 2006 dengan kos RM14.39 juta dan beroperasi sejak awal tahun ini.

Sultan Azlan bertitah, tidak wajar meletakkan tanggungjawab kesihatan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan kerana agensi lain dan pihak swasta juga mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

Titah baginda, tindakan tegas perlu diambil terhadap kegiatan yang membawa pencemaran dan merosakkan alam sekitar.

"Syarat kelulusan untuk kegiatan ekonomi harus diperketat supaya tidak menimbulkan gangguan kesihatan. Badan penguat kuasa tidak harus berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang demi memastikan suasana kerja yang sihat dan selamat dapat dijamin," titah baginda.

Golongan muda disaran sertai pasukan polis- Sultan Pahang

RAUB: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyarankan golongan muda yang menganggur untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kerajaan mengawal keselamatan dan kedaulatan negara sekali gus mampu membendung masalah sosial.

Tambah pula, titah baginda, PDRM memerlukan lebih ramai anggota bagi mengisi kekosongan yang dianggarkan lebih 60,000 jawatan di seluruh negara.

"Saya seru golongan muda merebut peluang ini menjadi sebahagian daripada kerajaan dan tidak mahu mereka hanya duduk di rumah dan melepak tanpa pekerjaan. Daripada melepak dan membuang masa tanpa arah lebih baik mereka menyertai PDRM kerana gaji yang ditawarkan agak baik dan lumayan di samping dapat berbakti dengan menjaga keamanan dan ketenteraman awam serta negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Pahang.

Sultan Ahmad Shah bertitah, rakyat juga perlu bekerjasama dengan polis dalam mencegah jenayah dan memastikan keselamatan serta keamanan negara.

"Tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara tidak boleh dipikul pihak polis saja. Rakyat, agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil ke hadapan bagi memberikan maklumat dan bantuan menangani jenayah," titahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, baginda bertitah, kerajaan negeri Pahang sudah meluluskan tanah seluas 520 hektar (1,300 ekar) di Pelangai, Bentong bagi pembinaan kompleks latihan polis dan ketenteraman awam bersepadu.

"Setakat ini, kos pembinaan projek dan bila ia akan dimulakan belum diputuskan Kerajaan Pusat. Apa yang pasti sekarang, tanah untuknya sudah diluluskan. Selain kompleks latihan itu, saya juga berharap kerajaan Pusat dapat membina bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan mes pegawai PDRM di Kuantan kerana setakat ini polis Pahang belum mempunyai bangunan sendiri sedangkan di negeri lain PDRM sudah mempunyai kompleks IPK masing-masing,” titahnya.

Baginda juga meminta PDRM membina lebih banyak IPD, balai dan pondok polis bagi menggantikan bangunan lama yang sudah uzur.

“Ada bangunan ini yang dibina sejak merdeka dan masih digunakan sehingga kini," titah baginda.

5/10/08

Daulat Tuanku

Pertahankan Kedaulatan Raja-Raja Melayu

www.malaysianmonarchy.org.my