
Nilai murni persiapan hadapi ujian pangkat
Nilai dan harga diri mempunyai pengaruh besar dalam menentukan seseorang yang menjawat pangkat tinggi dan jawatan penting berjaya melalui ujian memenuhi tanggung jawab serta diberikan penilaian yang positif oleh masyarakat.
Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah ramai yang mendapat pangkat dan jawatan, namun sedikit yang berjaya menghadapi ujian untuk meninggalkan nama yang harum sepanjang zaman. Ini kerana, titahnya, pangkat atau jawatan bukan sekadar memberikan kuasa dan pengaruh tetapi juga meletakkan seseorang menghadapi ujian serta penilaian.
"Beta amat bersyukur kerana ketika beta melalui era pembentukan diri, beta berada di bawah naungan bimbingan ayahanda bonda yang senantiasa menyemaikan nilai-nilai murni. Nilai-nilai yang menekankan aspek ketinggian budi, kehalusan bahasa, nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan, perundangan, akhlak dan tatasusila, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran, disiplin, dedikasi dan komitmen, ketuhanan dan adat budaya Melayu, menghormati ibu bapa dan kesopanan.
“Seseorang yang memperlihatkan pekerti tinggi, senantiasa menghormati insan lain, tidak merasakan bahawa dia seorang saja yang benar dan orang lain sentiasa salah. Sebaliknya dia sentiasa menyedari bahawa dirinya juga tidak sempurna dan turut mempunyai kekurangan, turut memiliki kelemahan dan dirinya juga tidak maksum daripada dosa.”
Baginda bertitah pada Hari Penghargaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf dan Perasmian Dewan Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak. Turut berangkat, Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri, Datin Seri Fatimah Taat.
Justeru, Raja Dr Nazrin bertitah, ibu bapa dan guru hendaklah mengimbangkan pencapaian luaran, iaitu kecemerlangan akademik anak dengan membina kekuatan dalaman melalui penyemaian nilai-nilai murni di jiwa pelajar.
No comments:
Post a Comment