MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

10/21/08

Sultan murka kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan


SULTAN Kelantan, DYMM Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra bertitah merasmikan Persidangan kali ke 3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal pertama Dewan Negeri Kelantan, Kota Bharu, yang ke 12 tahun 2008 di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim, Kota Bharu


Tuanku Ismail Petra semalam menegur kerajaan Pas Kelantan kerana masih gagal mengurus dan membangunkan negeri ini dengan cekap, termasuk dalam pengurusan hasil serta kewangan.

Sultan Kelantan turut mengingatkan kerajaan negeri supaya memartabatkan institusi masjid dan tidak menggunakannya untuk kepentingan pihak tertentu.

"Beta ingin menarik perhatian kepada pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebagai bandar raya Islam sejak 2006. Perancangan dari aspek kebersihan dan keselamatan perlu dinilai semula kerana beta melihat beberapa elemen belum mencapai matlamat.

"Beta berharap MPKB memberi fokus kepada elemen terbabit bagi menjamin pencapaian matlamat itu," titah baginda ketika menyempurnakan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini. Hadir sama, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Tuanku Ismail Petra bertitah, pertumbuhan sektor pelancongan negeri juga masih bergantung kepada segmen domestik yang menyumbang 80 peratus kemasukan pelancong ke Kelantan.

"Beta menyarankan peranan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri dinilai semula sesuai dengan kepentingan sektor ini dalam menyumbang kepada ekonomi negeri. Sudah sampai masa, entiti baru yang lebih berkesan ditubuhkan supaya dapat bersaing dengan lebih kompetitif," titah baginda.

Bagi mengimbangi tanggungjawab pembangunan negeri pula, baginda menyarankan Enakmen Perbadanan Menteri Besar Kelantan serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dikaji semula supaya tidak wujud pertindihan dan persaingan.

Baginda turut menyentuh Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan Kelantan yang tidak kukuh apabila mengalami defisit akaun hasil disatukan pada akhir 2007 sebanyak RM326.34 juta berbanding RM155.86 juta pada akhir 2003.

"Kerajaan negeri hendaklah mengelak membuat keputusan yang boleh mengurangkan kemasukan hasil. Agensi dan perbadanan kerajaan negeri tidak harus diberi keistimewaan lagi, manakala syarikat swasta yang gagal membuat pembayaran perlu diambil tindakan tegas.

"Kerajaan negeri tidak boleh terus bergantung kepada sumber hasil sedia ada. Usaha perlu digembleng untuk meneroka punca hasil baru dalam setiap sektor untuk membiayai kos pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat," tegas baginda.
Tengku Ismail Petra juga menegur mengenai masalah tanah terbiar di seluruh Kelantan yang ketika ini mencapai keluasan 21,458 hektar dan 910 hektar saja yang dibangunkan.

"Beta berharap, kerajaan negeri mengambil peluang daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.5 bilion untuk memulihkan tanah terbiar bagi menjamin bekalan makanan negeri khususnya dan negara amnya," titah baginda.

Selain itu, Sultan Kelantan tidak puas hati dengan pembangunan projek yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di negeri ini kerana agak perlahan dan ada yang belum dimulakan.

Ini termasuk pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli serta projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra.

"Beta juga mendapat maklum, Kelantan adalah antara negeri yang disenarai dengan projek hab halal dalam RMK-9 membabitkan peruntukan RM17 juta. Bagaimanapun, projek ini belum dilaksanakan dan beta berharap ia dapat disegerakan.

"Beta menyarankan kerajaan negeri turut menekankan pelaksanaan pembangunan hab halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal," titahnya.

Sultan Kelantan juga berharap rangkaian perhubungan dibaiki, dinaiktaraf dan ditambah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan 53 program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan.

"Sukacita beta mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu-Kuala Krai dan pelebaran Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

"Beta difahamkan, pelabuhan tidak disenaraikan sebagai projek infrastruktur di bawah ECER di Kelantan. Bagaimanapun, beta dimaklumkan kerajaan negeri meluluskan tiga projek pembinaan pelabuhan Tok Bali, pangkalan bekalan luar pesisir Kemasin dan pangkalan bekalan Kuala Besar.

"Beta berharap kerajaan boleh memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini," titah baginda sambil melahirkan rasa amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan dana khas sebanyak RM32.1 juta bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat menerusi Projek D'Raja Kelantan.

Baginda turut menyarankan rakyat supaya berbelanja dengan berhemat bagi menangani kesan kenaikan kos sara hidup akibat krisis kewangan, kekurangan makanan dan kenaikan harga minyak dunia.

TANGANI KRISIS KEWANGAN


Raja Nazrin Shah menyampaikan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak kepada Drs. Abdul Halim Azizi Abdul Rahman pada Persidangan MAIAMP di Kompleks Islam Perak, Ipoh, semalam

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah, krisis dan kemelut kewangan yang berlaku sekarang perlu ditangani dengan bijak dan berkesan bagi mengelak suasana iklim ekonomi yang suram berpanjangan.

Baginda bertitah, kemelut dan krisis kewangan yang serius mengakibatkan ekonomi tidak menentu dan keadaan ekonomi dunia pada masa ini turut mempengaruhi persekitaran ekonomi negara ini.

“Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi akan terjejas, pelaburan bukan sahaja tidak berkembang, malah mungkin menguncup, peluang pekerjaan baru tidak dapat diwujudkan, malah dibimbangi akan berlaku pemberhentian kerja,” titah baginda pada persidangan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) Ke 163 di Kompleks Islam Perak di sini hari ini.

Untuk itu, Raja Nazrin bertitah, sumber ekonomi dan kekayaan perlu dibangun dan dimajukan secara bijak, diuruskan secara amanah serta telus dan diagihkan dengan adil dan saksama untuk manfaat ummah keseluruhannya.

Titah baginda, manusia perlu mengambil iktibar daripada kegagalan pengurusan sumber ekonomi dan sumber kekayaan di serata dunia.

“Ada negara yang dilimpahkan dengan kekayaan pelbagai sumber bumi, namun negaranya mundur, pembangunan prasarananya tidak seimbang dan hanya tertumpu di ibu negara atau beberapa buah bandar sahaja dan majoriti rakyatnya berada dalam kemiskinan serta memiliki taraf pendidikan yang rendah.

“Sementara itu, ada negara yang tidak mempunyai sebarang kekayaan sumber alam, tetapi muncul sebagai negara maju, pembangunan prasarananya luas lagi menyeluruh, rakyatnya makmur serta menguasai tahap pencapaian ilmu dan pengetahuan yang tinggi,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, berdasarkan perbandingan senario tersebut, manusia wajib menyedari bahawa kebijaksanaan pimpinan menguruskan sumber secara produktif, telus dan adil merupakan faktor penting menentukan tahap kejayaan serta kemajuan sesebuah institusi, organisasi dan negara.

Titah baginda, dalam menghadapi cabaran yang sentiasa berubah dengan peluang baru yang turut berlainan, manusia harus bersedia dan berani melakukan pembaharuan, menerima idea baru, mencambah pemikiran baru dan memilih kaedah baru yang berbeza dari hari semalam

10/19/08

Jaga disiplin di tanah suci - Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah haji yang bakal menunaikan haji pada tahun ini supaya mempamerkan kepada seluruh masyarakat Islam tentang ketinggian budi pekerti dan disiplin rakyat Malaysia.

Baginda turut menasihatkan jemaah supaya tidak berbelanja mengikut hawa nafsu semata-mata sebaliknya berbelanja secara berhemah untuk mengelakkan pembaziran.

Baginda bertitah, kebanyakan barangan yang dibeli jemaah haji Malaysia di Tanah Suci boleh dibeli di negara ini, maka lebih baik mereka berbelanja sekadar yang perlu dan wang selebihnya dibelanjakan di negara sendiri.

"Adalah menjadi tanggungjawab jemaah untuk menjauhi segala bentuk perkara yang boleh mencacatkan pandangan masyarakat luar negara terhadap kita," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan majlis penutup Kursus Haji Perdana peringkat negeri di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Kursus selama dua hari anjuran Lembaga Tabung Haji (LTH) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti mengenai haji dan umrah seperti latihan tawaf, wukuf, melontar jamrah selain ceramah motivasi.

Pada majlis yang sama, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada para wakil jemaah haji dari sembilan daerah di negeri ini.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LTH, pada tahun ini kira-kira 4,500 bakal haji dari Selangor akan menunaikan ibadah berkenaan. Menurut kenyataan itu, penerbangan pertama dijadualkan pada 30 Oktober ini dan akan berakhir pada 1 Disember, manakala penerbangan pulang pertama dijadualkan pada 15 Disember dan yang terakhir adalah pada 12 Januari depan.

10/18/08

MAJLIS RAJA-RAJA

Barisan kepimpinan Pemuda UMNO dan seluruh generasi muda negara ini, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada ke bawah duli Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu di atas kenyataan khas mengingatkan seluruh rakyat tentang asas kenegaraan Malaysia yang sudah berlandas kukuh sejak kemerdekaan yang telah membawa negara sehingga ke tahap seperti yang ada pada hari ini.

Kenyataan khas itu adalah tanda kasih sayang dan keprihatinan Sultan dan Raja-Raja Melayu kepada kepentingan asas penubuhan Malaysia, keharmonian hubungan di antara kaum dipelihara, kedudukan agama Islam dan Sistem Raja Berpelembagaan dihormati supaya sentiasa kekal bersatu padu, harmoni, aman dan makmur.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, kenyataan dan pendirian ini sememangnya dinantikan dan saya amat bersyukur kerana saya yakin Institusi Raja-raja ini adalah kekuatan Negara kita di mana ia bukan hanya melindungi orang-orang Melayu sahaja malah memayungi rakyat Malaysia keseluruhannya. Saya percaya rakyat Malaysia juga amat berbangga dan berterima kasih dengan peringatan yang dibuat kerana ia mencerminkan bahawa yang sedang kita pertahankan adalah institusi Raja-raja sebagai lambang perpaduan di Negara ini dan bukan kepada mana-mana individu atau kumpulan.

”Saya menyeru dan berharap, agar semua pihak mengambil perhatian serius kepada peringatan Majlis Raja-Raja itu bahawa dalam keadaan apa sekali pun kita perlu bertanggungjawab dan tidak boleh membenarkan serta mempersoalkan asas kenegaraan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini. Kenyataan itu membuktikan tahap keseriusan suasana yang berlaku hari ini boleh menjurus kepada sesuatu yang boleh mengancam kedudukan negara jika tidak dihentikan. Jangan ada mana-mana pihak menyalah anggap kenyataan Majlis Raja-Raja itu dan mengaitkannya dengan agenda atau kepentingan kaum-kaum tertentu saja,”.

Maka kami mahu soal-soal yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan berkaitan institusi Raja-Raja Melayu, keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipersoalkan lagi pada masa depan.

Kita perlu sedar bahawa kedudukan dan hak keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak pernah dipertikaikan oleh rakyat di Negara ini tetapi ia sering kali digunakan oleh segelintir pemimpin demi kepentingan mereka semata-mata.

Marilah kita bersama-sama mengambil peringatan penting ini supaya negara kita sentiasa berada pada landasan keamanan, keharmonian sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Apa yang lebih penting ialah untuk kita lebih proaktif memainkan peranan dan memberi sumbangan bermakna kepada pengukuhan negara sehingga membawa Malaysia ke puncak kecemerlangan.

Pada masa yang sama kenyataan khas Majlis Raja-Raja itu juga secara tidak langsung mengingatkan mana-mana pihak dan individu yang chauvanist, berkepentingan peribadi, mahukan populariti supaya berhenti daripada menodai keharmonian dan asas kenegaraan kita.

Peranan Majlis Raja-Raja juga membuktikan pengorbanan, jasa, legasi dan kedaulatan Kesultanan Melayu ketika mencapai kemerdekaan mahupun pada waktu aman dan kritikal sepanjang 50 tahun ini masih memberi makna yang besar kepada hidup dan kesinambungan negeri ini.

Berhentilah daripada mengkhianati kalau mahu terus hidup bersama negara ini dan nikmati keharmonian yang ada. Elakkanlah pergeseran dan pertelingkahan, khususnya hal ehwal berkaitan mana-mana sentimen kaum dan agama. Kita sudah tiada masa untuk chauvanisme dan populariti, Malaysia perlu terus mengorak langkah maju dan meredah pelbagai cabaran domestik dan global.

10/17/08

Peringatan Raja-Raja Melayu


Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Dipertikai

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Menghormati

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.