MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

7/31/08

Pertahan kedaulatan negara - Tuanku Mizan

Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta pasukan keselamatan negara untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang serta mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Baginda bertitah kecemerlangan dan pengorbanan perwira-perwira terdahulu dalam memastikan agama, bangsa dan negara serta kedaulatan negara dipertahankan, wajar menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada pasukan keselamatan negara sekarang.

"Beta ingin mengingatkan, walaupun negara kita adalah sebuah negara yang sentiasa cintakan kedamaian dan kesejahteraan serta menjalin hubungan baik dengan semua negara, namun isu-isu keselamatan global dan serantau memerlukan pasukan keselamatan yang kuat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman ke atas kedaulatan negara yang tercinta ini," titah baginda sempena Hari Pahlawan 2008 menerusi RTM1 malam ini.

Baginda juga meminta rakyat menghayati semangat taat setia tidak berbelah bahagi oleh pasukan keselamatan terdahulu apabila hasil perjuangan dan pengorbanan mereka menyebabkan negara aman dan sejahtera.

Titah baginda, sempena sambutan Hari Pahlawan yang akan disambut esok, rakyat perlu mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.

"Semua rakyat perlu mempunyai iltizam yang murni ini kerana tugas dan tanggungjawab memelihara kedaulatan negara bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata tetapi ia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia," titahnya.

Baginda juga berharap pada masa yang sama kredibiliti dan profesionalisme pasukan keselamatan perlu ditingkatkan agar menjadi sebuah organisasi yang sentiasa digeruni, dikagumi dan disegani.

"Perkara ini telah terbukti di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa seperti yang telah dipamerkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan dalam melaksanakan tugas mereka di luar negara terutama dalam pasukan tugas pengaman antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Penugasan tugasan awam, di United Kingdom oleh Batalion Istiadat dari Tentera Darat Malaysia misalnya telah mempamerkan tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi di mata dunia," titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah secara langsung penugasan itu telah memperkenalkan negara ini ke mata dunia dan seterusnya menarik ramai pelancong dari luar negara. Selain itu baginda meminta rakyat Malaysia supaya tabah menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang berpunca daripada kenaikan harga bekalan makanan dan harga minyak global.

Baginda bertitah dalam menghadapi ekonomi dunia yang tidak begitu memberangsangkan itu, rakyat diminta bersama-sama berdoa semoga keadaan itu akan dapat diatasi dalam masa yang singkat.

"Beta berasa amat bersyukur kerana situasi di negara ini jauh lebih baik berbanding dengan negara-negara lain. Justeru, beta berharap keadaan ini tidak akan mencetuskan situasi yang menjadikan negara kita tidak stabil, kacau bilau serta huru-hara," titahnya.

Tuanku Mizan bertitah sempena Hari Pahlawan, berharap semua pihak di negara ini perlu mengenang dan menghargai jasa pahlawan negara terdiri daripada anggota tentera dan polis yang telah terkorban dan tercedera demi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Nilai pergorbanan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan serta kedaulatan negara amat tinggi dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Keberanian mereka dalam memerangi musuh dan menjaga keselamatan negara memang tiada tolok bandingnya dalam menentukan seluruh rakyat jelata dapat menikmati kehidupan yang aman dan makmur," katanya.

Titah baginda bagi menghargai mereka, pahlawan yang masih hidup termasuk balu dan keluarganya yang telah berkorban wajar diberikan sokongan dalam sebarang bentuk sekalipun.

7/14/08

AKADEMIK, SAHSIAH KENA SEIMBANG- RAJA NAZRIN

DEWAN BARU: Raja Nazrin Shah menandatangani plak tanda perasmian Dewan Sultan Yussuf di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah sambil diperhatikan Mohammad Nizar

Nilai murni persiapan hadapi ujian pangkat

Nilai dan harga diri mempunyai pengaruh besar dalam menentukan seseorang yang menjawat pangkat tinggi dan jawatan penting berjaya melalui ujian memenuhi tanggung jawab serta diberikan penilaian yang positif oleh masyarakat.

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah ramai yang mendapat pangkat dan jawatan, namun sedikit yang berjaya menghadapi ujian untuk meninggalkan nama yang harum sepanjang zaman. Ini kerana, titahnya, pangkat atau jawatan bukan sekadar memberikan kuasa dan pengaruh tetapi juga meletakkan seseorang menghadapi ujian serta penilaian.

"Beta amat bersyukur kerana ketika beta melalui era pembentukan diri, beta berada di bawah naungan bimbingan ayahanda bonda yang senantiasa menyemaikan nilai-nilai murni. Nilai-nilai yang menekankan aspek ketinggian budi, kehalusan bahasa, nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan, perundangan, akhlak dan tatasusila, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran, disiplin, dedikasi dan komitmen, ketuhanan dan adat budaya Melayu, menghormati ibu bapa dan kesopanan.

“Seseorang yang memperlihatkan pekerti tinggi, senantiasa menghormati insan lain, tidak merasakan bahawa dia seorang saja yang benar dan orang lain sentiasa salah. Sebaliknya dia sentiasa menyedari bahawa dirinya juga tidak sempurna dan turut mempunyai kekurangan, turut memiliki kelemahan dan dirinya juga tidak maksum daripada dosa.”

Baginda bertitah pada Hari Penghargaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf dan Perasmian Dewan Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak. Turut berangkat, Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri, Datin Seri Fatimah Taat.

Justeru, Raja Dr Nazrin bertitah, ibu bapa dan guru hendaklah mengimbangkan pencapaian luaran, iaitu kecemerlangan akademik anak dengan membina kekuatan dalaman melalui penyemaian nilai-nilai murni di jiwa pelajar.

7/8/08

Agong diminta campur tangan, hak bumiputera makin terhakis

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta campur tangan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera yang semakin berleluasa sekarang.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) membuat saranan itu ekoran tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil kuota biasiswa pelajar-pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar-pelajar bukan bumiputera.

Beliau memberitahu, di bawah skim biasiswa JPA yang baru, JPA telah memberikan 700 peruntukan biasiswa untuk pelajar bumiputera kepada pelajar bukan bumiputera.

“Biasiswa JPA kekal sebanyak 2,000 tawaran setahun dan tambahan untuk pelajar bukan bumiputera diambil daripada kuota pelajar bumiputera. Ini menjadikan nisbah pemberian biasiswa JPA itu kini adalah 50 peratus untuk bumiputera, 45 peratus untuk bukan bumiputera dan lima peratus lagi kepada lain-lain kaum,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan: “Perkara ini tidak boleh diterima memandangkan nisbah itu tidak adil kerana jumlah penduduk bumiputera di negara ini adalah 67 peratus dan nisbah tawaran biasiswa JPA dulu ialah 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.”

Menurut Khairy, tindakan mengubah nisbah itu adalah satu langkah yang tidak bijak kerana sepatutnya jumlah tawaran biasiswa itu diperbesarkan agar hak bumiputera tidak diambil manakala penambahan tawaran biasiswa dapat diberikan kepada bukan bumiputera.

“Saya harap perkara ini tidak disalahfahamkan. Saya harap semua pelajar yang cemerlang diberi peluang tanpa mengira mereka pelajar bumiputera atau bukan bumiputera tetapi tambahan tawaran biasiswa itu tidak boleh diambil daripada kuota untuk pelajar bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Razali Ibrahim (BN-Muar) ketika berucap membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-9 menggesa kerajaan melaksanakan satu dasar yang memperuntukkan cuti khas kepada rakyat beragama Islam yang ingin mengerjakan haji terutama bagi mereka yang pertama kali menunaikan ibadah itu.

Sultan Perak minta PBT rancang pembangunan

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan perancangan pembangunan secara teliti supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada rakyat pada kemudian hari. Baginda bertitah, PBT berperanan untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam suasana selesa dan pada ketika sama kepentingan jangka panjang negara sentiasa diberikan keutamaan.

Titah baginda, faktor berkaitan pencemaran, bekalan air bersih, kesihatan, perumahan berkualiti, perkhidmatan rangkaian jalan, kebersihan dan pembuangan sisa perlu diuruskan dengan baik.

"Di negara maju, rakyat dapat hidup dalam persekitaran yang selesa, teratur dan sihat kerana PBT sentiasa tegas menguatkuasa undang-undang dan memastikan segala peraturan dipatuhi serta tiada ruang untuk kompromi terhadap perkara yang dianggap mengancam kesihatan dan keselamatan penduduk. PBT yang berjaya melaksanakan tugas dengan cekap lagi berkesan bukan saja memberikan keselesaan hidup kepada rakyat tetapi turut memberi imej positif kerajaan di mata rakyat," titah baginda ketika berucap merasmikan bangunan baru Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) di sini, semalam.

Turut hadir Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bangunan baru MDKB itu yang terletak di Jalan Haji Abdul Wahab berharga RM10 juta dibina pada Mei 2006 dan mula diduduki pada 6 Jun lalu.

Sultan Azlan bertitah, kerjasama orang ramai amat penting untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam persekitaran, yang bukan dengan pertambahan kemudahan fizikal tetapi dari segi kemajuan pemikiran masyarakat.

"Dalam menjalankan tugas penguat kuasa pula masyarakat harus dididik supaya sama-sama dapat memahami lalu mendukung hasrat PBT untuk mewujudkan satu persekitaran hidup berkualiti untuk faedah rakyat," titah baginda.

Baginda juga mahu ahli majlis PBT melihat tanggungjawab yang diberikan kepada mereka sebagai satu amanah dan melaksanakan tugas dengan komitmen tinggi.

PAS minta suruhanjaya selesai kecelaruan politik


Dewan Pemuda Pas meminta Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk bagi menyelesaikan kecelaruan politik negara sekarang.

Ketuanya, Salahuddin Ayob berkata, suruhanjaya itu boleh menamatkan rasa bimbang rakyat dengan situasi perebutan kuasa serta fitnah yang melibatkan pihak berkuasa negara ini. Kita percaya semua orang risau dengan keadaan politik negara hari ini. Kita mahu pihak istana mengambil tindakan segera sebelum keadaan menjadi semakin serius.

''Pelbagai tuduhan dan akuan sumpah timbul akhir-akhir ini. Suruhanjaya Diraja boleh menyelesaikan semua masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. Memorandum itu disampaikan kepada Pegawai Pentadbir Istana Negara, Sofuan Ibrahim.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, suruhanjaya yang bakal ditubuh nanti perlu dianggotai tokoh negara selain bekas hakim yang berwibawa. Biar suruhanjaya ini dianggotai bekas hakim negara. Ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Sehubungan itu jelasnya, beliau turut meminta Tuanku Mizan menitahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk bercuti sementara siasatan suruhanjaya itu selesai.

7/4/08

100 NGO serah memorandum bantahan kepada Sultan Selangor

Sekumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu dalam hal ehwal Islam.

Seramai 200 anggota pelbagai NGO itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Pengiring Sultan, Komander Ahmad Ramli Kardi, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Jurucakap mereka, Datuk Abdul Abdul Rahman Palil, berkata antara bantahan yang terkandung dalam memorandum itu ialah mengenai penyalahgunaan masjid sebagai medan berpolitik selain kewujudan semakin ramai penceramah dan khatib tidak bertauliah.

“Memorandum ini bertujuan agar keadaan yang berlaku ini dapat diperbetulkan memandangkan Tuanku Sultan adalah ketua agama di negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Abdul Rahman berkata memorandum itu juga menyebut mengenai pembinaan rumah ibadat tanpa memikirkan keperluan serta sensitiviti kaum serta mengenai isu zakat.

MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA BERMULA


Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail; Sultan Perak Sultan Azlan Shah; Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah dan Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara
Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-214 bermula hari ini di Istana Negara. Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Terengganu yang masing-masing menghantar wakil.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Turut hadir ialah Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin dijadual menghadiri mesyuarat hari kedua di Istana Melawati, Putrajaya esok dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

7/3/08

PRESIDEN BOSNIA AKHIRI LAWATAN

Yang di-Pertuan Agong menerima kunjungan hormat Dr. Haris Silajdzic di Istana Negara sebelum beliau mengakhiri lawatan ke Malaysia.

Bosnia dan Herzegovina, Dr. Haris Silajdzic menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pada satu majlis perpisahan, sekaligus mengakhiri lawatan rasminya ke Malaysia.

Silajdzic diiringi Ahli Jemaah Presiden Nebojsa Radmanovic, Menteri Hal Ehwal Awam, Sredoje Novic dan Duta Bosnia dan Herzegovina ke Malaysia, Mustafa Mujazinovic. Turut hadir Duta Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina, Zulkifli Adnan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Johari Baharom.

Silajdzic kemudian menerima tabik hormat kawalan kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota pangkat-pangkat lain, diketuai Mejar Muhamad Qadri Abu Bakar dengan diiringi lagu kebangsaan kedua-dua negara.

Terdahulu, Presiden Bosnia dan Herzegovina mengunjungi Muzium Kesenian Islam dan meluangkan masa kira-kira sejam melawat beberapa galeri di muzium itu antaranya Galeri al-Quran dan Manuskrip, Galeri Dunia Melayu dan Galeri Senibina.

Silajdzic dan delegasinya turut melawat Menara Berkembar Petronas dan dibawa menyaksikan keindahan Kuala Lumpur dari jambatan udara di Tingkat 42 dan melawat galeri VIP di Tingkat 85 di bangunan menara itu. Silajdzic berlepas pulang ke Bosnia malam ini.Silajdzic dan delegasinya turut melawat Menara Berkembar Petronas dan dibawa menyaksikan keindahan Kuala Lumpur dari jambatan udara di Tingkat 42 dan melawat galeri VIP di Tingkat 85 di bangunan menara itu. Silajdzic berlepas pulang ke Bosnia malam ini.

PEGAWAI AGAMA MESTI BEBAS PENGARUH POLITIK


RAJA Dr. Nazrin Shah bersalam dengan Orang Besar Jajahan pada majlis menghadap di Kompleks Islam, Ipoh, Perak



Raja Dr Nazrin mahu masjid, surau jadi medan satukan ummah

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, mahu pegawai agama bebas daripada politik kepartian atau pengaruh mana-mana pemimpin dan kumpulan politik dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab urusan agama Islam.

Baginda bertitah, urusan agama Islam sama sekali tidak harus dibenar untuk dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk permainan politik, sebaliknya hendaklah menjadi instrumen perpaduan untuk menyatupadukan ummah.

"Oleh itu sebarang kegiatan yang boleh memecah-belahkan ummah tidak boleh dibenarkan berlaku dalam masjid dan surau," titah baginda pada majlis sembah menghadap Orang Besar Jajahan (OBJ) Perak dan pegawai tadbir agama daerah di Kompleks Islam di Ipoh.

Sehubungan itu, Raja Dr Nazrin mahu Orang Besar Jajahan yang menjadi wakil Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di daerah masing-masing menjadi telinga dan mata Sultan dalam mengawasi kegiatan agama Islam di kawasan mereka.

"Mereka (OBJ) dapat memberikan nasihat dan turut melaporkan ke pengetahuan beta apabila berlaku perkara tidak betul berkaitan agama, demikian juga dengan aktiviti yang berlangsung di masjid. Beta wajib memberikan peringatan bahawa Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan Sultan sebagai ketua agama negeri. Raja Pemerintah memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam. Raja pemerintah berada di atas politik kepartian, bersikap bebas dan berkecuali daripada sebarang pengaruh atau kepentingan politik kepartian," titah baginda.

Pada majlis itu, Raja Dr Nazrin turut mengulangi titah ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah ketika merasmikan pembukaan penggal pertama, Dewan Undangan Negeri ke-12, pada 24 Jun lalu yang memperingatkan lima perkara mengenai Islam.

Pertama, Islam agama yang diberikan pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara, diiktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan dan perlindungan.

Kedua, Islam adalah tunjang utama dalam pembentukan minda dan budaya khususnya di kalangan orang Melayu.

Ketiga, Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersendakan, selagi umat Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi.

Keempat, perkara menyentuh agama tidak wajar diuji dan dicabar kerana isu agama sangat sensitif dan sangat menyentuh emosi, boleh menjejaskan ketenteraman awam hingga ke peringkat boleh mencetuskan perang saudara.

Kelima, masjid dan surau adalah rumah suci Allah dan hendaklah bebas daripada pengaruh mana-mana fahaman politik kepartian dan demi menjamin perpaduan ummah, masjid serta surau tidak harus dijadikan pentas untuk kempen politik kepartian.

Tuanku Nur Zahirah berkenan terima buku Adab Raja-Raja Melayu



PERSEMBAH CENDERAMATA: Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan menerima buku Adab Raja-Raja Melayu yang disampaikan Mohd Shafie pada Majlis Pelancaran Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca 2008 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra

Tiket teater muzikal untuk rumah kebajikan


Tiket teater muzikal untuk rumah kebajikan: RAJA Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan menerima replika tiket teater muzikal 'Disney's Beauty and the Beast' daripada Pengarah Urusan Yvents Sdn Bhd, Yvette Kang di Carcosa Sri Negara, di Kuala Lumpur, semalam. Sebanyak 200 tiket bernilai RM50,000 diberikan kepada Raja Dr Nazrin bagi pihak Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Perak dan Kuala Lumpur untuk persembahan hari ini dan esok. Baginda menyifatkan peluang seperti itu sangat dinantikan dan bakal menjadi pengalaman seumur hidup penghuni rumah kebajikan berkenaan.