MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

7/8/08

PAS minta suruhanjaya selesai kecelaruan politik


Dewan Pemuda Pas meminta Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk bagi menyelesaikan kecelaruan politik negara sekarang.

Ketuanya, Salahuddin Ayob berkata, suruhanjaya itu boleh menamatkan rasa bimbang rakyat dengan situasi perebutan kuasa serta fitnah yang melibatkan pihak berkuasa negara ini. Kita percaya semua orang risau dengan keadaan politik negara hari ini. Kita mahu pihak istana mengambil tindakan segera sebelum keadaan menjadi semakin serius.

''Pelbagai tuduhan dan akuan sumpah timbul akhir-akhir ini. Suruhanjaya Diraja boleh menyelesaikan semua masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. Memorandum itu disampaikan kepada Pegawai Pentadbir Istana Negara, Sofuan Ibrahim.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, suruhanjaya yang bakal ditubuh nanti perlu dianggotai tokoh negara selain bekas hakim yang berwibawa. Biar suruhanjaya ini dianggotai bekas hakim negara. Ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Sehubungan itu jelasnya, beliau turut meminta Tuanku Mizan menitahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk bercuti sementara siasatan suruhanjaya itu selesai.

No comments: