MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

7/31/08

Pertahan kedaulatan negara - Tuanku Mizan

Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta pasukan keselamatan negara untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang serta mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Baginda bertitah kecemerlangan dan pengorbanan perwira-perwira terdahulu dalam memastikan agama, bangsa dan negara serta kedaulatan negara dipertahankan, wajar menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada pasukan keselamatan negara sekarang.

"Beta ingin mengingatkan, walaupun negara kita adalah sebuah negara yang sentiasa cintakan kedamaian dan kesejahteraan serta menjalin hubungan baik dengan semua negara, namun isu-isu keselamatan global dan serantau memerlukan pasukan keselamatan yang kuat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman ke atas kedaulatan negara yang tercinta ini," titah baginda sempena Hari Pahlawan 2008 menerusi RTM1 malam ini.

Baginda juga meminta rakyat menghayati semangat taat setia tidak berbelah bahagi oleh pasukan keselamatan terdahulu apabila hasil perjuangan dan pengorbanan mereka menyebabkan negara aman dan sejahtera.

Titah baginda, sempena sambutan Hari Pahlawan yang akan disambut esok, rakyat perlu mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.

"Semua rakyat perlu mempunyai iltizam yang murni ini kerana tugas dan tanggungjawab memelihara kedaulatan negara bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata tetapi ia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia," titahnya.

Baginda juga berharap pada masa yang sama kredibiliti dan profesionalisme pasukan keselamatan perlu ditingkatkan agar menjadi sebuah organisasi yang sentiasa digeruni, dikagumi dan disegani.

"Perkara ini telah terbukti di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa seperti yang telah dipamerkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan dalam melaksanakan tugas mereka di luar negara terutama dalam pasukan tugas pengaman antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Penugasan tugasan awam, di United Kingdom oleh Batalion Istiadat dari Tentera Darat Malaysia misalnya telah mempamerkan tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi di mata dunia," titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah secara langsung penugasan itu telah memperkenalkan negara ini ke mata dunia dan seterusnya menarik ramai pelancong dari luar negara. Selain itu baginda meminta rakyat Malaysia supaya tabah menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang berpunca daripada kenaikan harga bekalan makanan dan harga minyak global.

Baginda bertitah dalam menghadapi ekonomi dunia yang tidak begitu memberangsangkan itu, rakyat diminta bersama-sama berdoa semoga keadaan itu akan dapat diatasi dalam masa yang singkat.

"Beta berasa amat bersyukur kerana situasi di negara ini jauh lebih baik berbanding dengan negara-negara lain. Justeru, beta berharap keadaan ini tidak akan mencetuskan situasi yang menjadikan negara kita tidak stabil, kacau bilau serta huru-hara," titahnya.

Tuanku Mizan bertitah sempena Hari Pahlawan, berharap semua pihak di negara ini perlu mengenang dan menghargai jasa pahlawan negara terdiri daripada anggota tentera dan polis yang telah terkorban dan tercedera demi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Nilai pergorbanan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan serta kedaulatan negara amat tinggi dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Keberanian mereka dalam memerangi musuh dan menjaga keselamatan negara memang tiada tolok bandingnya dalam menentukan seluruh rakyat jelata dapat menikmati kehidupan yang aman dan makmur," katanya.

Titah baginda bagi menghargai mereka, pahlawan yang masih hidup termasuk balu dan keluarganya yang telah berkorban wajar diberikan sokongan dalam sebarang bentuk sekalipun.

No comments: