MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

7/8/08

Sultan Perak minta PBT rancang pembangunan

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan perancangan pembangunan secara teliti supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada rakyat pada kemudian hari. Baginda bertitah, PBT berperanan untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam suasana selesa dan pada ketika sama kepentingan jangka panjang negara sentiasa diberikan keutamaan.

Titah baginda, faktor berkaitan pencemaran, bekalan air bersih, kesihatan, perumahan berkualiti, perkhidmatan rangkaian jalan, kebersihan dan pembuangan sisa perlu diuruskan dengan baik.

"Di negara maju, rakyat dapat hidup dalam persekitaran yang selesa, teratur dan sihat kerana PBT sentiasa tegas menguatkuasa undang-undang dan memastikan segala peraturan dipatuhi serta tiada ruang untuk kompromi terhadap perkara yang dianggap mengancam kesihatan dan keselamatan penduduk. PBT yang berjaya melaksanakan tugas dengan cekap lagi berkesan bukan saja memberikan keselesaan hidup kepada rakyat tetapi turut memberi imej positif kerajaan di mata rakyat," titah baginda ketika berucap merasmikan bangunan baru Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) di sini, semalam.

Turut hadir Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bangunan baru MDKB itu yang terletak di Jalan Haji Abdul Wahab berharga RM10 juta dibina pada Mei 2006 dan mula diduduki pada 6 Jun lalu.

Sultan Azlan bertitah, kerjasama orang ramai amat penting untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam persekitaran, yang bukan dengan pertambahan kemudahan fizikal tetapi dari segi kemajuan pemikiran masyarakat.

"Dalam menjalankan tugas penguat kuasa pula masyarakat harus dididik supaya sama-sama dapat memahami lalu mendukung hasrat PBT untuk mewujudkan satu persekitaran hidup berkualiti untuk faedah rakyat," titah baginda.

Baginda juga mahu ahli majlis PBT melihat tanggungjawab yang diberikan kepada mereka sebagai satu amanah dan melaksanakan tugas dengan komitmen tinggi.

No comments: