MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

10/21/08

TANGANI KRISIS KEWANGAN


Raja Nazrin Shah menyampaikan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak kepada Drs. Abdul Halim Azizi Abdul Rahman pada Persidangan MAIAMP di Kompleks Islam Perak, Ipoh, semalam

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah, krisis dan kemelut kewangan yang berlaku sekarang perlu ditangani dengan bijak dan berkesan bagi mengelak suasana iklim ekonomi yang suram berpanjangan.

Baginda bertitah, kemelut dan krisis kewangan yang serius mengakibatkan ekonomi tidak menentu dan keadaan ekonomi dunia pada masa ini turut mempengaruhi persekitaran ekonomi negara ini.

“Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi akan terjejas, pelaburan bukan sahaja tidak berkembang, malah mungkin menguncup, peluang pekerjaan baru tidak dapat diwujudkan, malah dibimbangi akan berlaku pemberhentian kerja,” titah baginda pada persidangan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) Ke 163 di Kompleks Islam Perak di sini hari ini.

Untuk itu, Raja Nazrin bertitah, sumber ekonomi dan kekayaan perlu dibangun dan dimajukan secara bijak, diuruskan secara amanah serta telus dan diagihkan dengan adil dan saksama untuk manfaat ummah keseluruhannya.

Titah baginda, manusia perlu mengambil iktibar daripada kegagalan pengurusan sumber ekonomi dan sumber kekayaan di serata dunia.

“Ada negara yang dilimpahkan dengan kekayaan pelbagai sumber bumi, namun negaranya mundur, pembangunan prasarananya tidak seimbang dan hanya tertumpu di ibu negara atau beberapa buah bandar sahaja dan majoriti rakyatnya berada dalam kemiskinan serta memiliki taraf pendidikan yang rendah.

“Sementara itu, ada negara yang tidak mempunyai sebarang kekayaan sumber alam, tetapi muncul sebagai negara maju, pembangunan prasarananya luas lagi menyeluruh, rakyatnya makmur serta menguasai tahap pencapaian ilmu dan pengetahuan yang tinggi,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, berdasarkan perbandingan senario tersebut, manusia wajib menyedari bahawa kebijaksanaan pimpinan menguruskan sumber secara produktif, telus dan adil merupakan faktor penting menentukan tahap kejayaan serta kemajuan sesebuah institusi, organisasi dan negara.

Titah baginda, dalam menghadapi cabaran yang sentiasa berubah dengan peluang baru yang turut berlainan, manusia harus bersedia dan berani melakukan pembaharuan, menerima idea baru, mencambah pemikiran baru dan memilih kaedah baru yang berbeza dari hari semalam

No comments: