MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

10/19/08

Jaga disiplin di tanah suci - Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah haji yang bakal menunaikan haji pada tahun ini supaya mempamerkan kepada seluruh masyarakat Islam tentang ketinggian budi pekerti dan disiplin rakyat Malaysia.

Baginda turut menasihatkan jemaah supaya tidak berbelanja mengikut hawa nafsu semata-mata sebaliknya berbelanja secara berhemah untuk mengelakkan pembaziran.

Baginda bertitah, kebanyakan barangan yang dibeli jemaah haji Malaysia di Tanah Suci boleh dibeli di negara ini, maka lebih baik mereka berbelanja sekadar yang perlu dan wang selebihnya dibelanjakan di negara sendiri.

"Adalah menjadi tanggungjawab jemaah untuk menjauhi segala bentuk perkara yang boleh mencacatkan pandangan masyarakat luar negara terhadap kita," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan majlis penutup Kursus Haji Perdana peringkat negeri di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Kursus selama dua hari anjuran Lembaga Tabung Haji (LTH) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti mengenai haji dan umrah seperti latihan tawaf, wukuf, melontar jamrah selain ceramah motivasi.

Pada majlis yang sama, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada para wakil jemaah haji dari sembilan daerah di negeri ini.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LTH, pada tahun ini kira-kira 4,500 bakal haji dari Selangor akan menunaikan ibadah berkenaan. Menurut kenyataan itu, penerbangan pertama dijadualkan pada 30 Oktober ini dan akan berakhir pada 1 Disember, manakala penerbangan pulang pertama dijadualkan pada 15 Disember dan yang terakhir adalah pada 12 Januari depan.

No comments: