MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

5/27/08

FAM nafi hubungan dengan AFC retak

MINTA PENJELASAN: Sultan Ahmad Shah berkenan menerima mengadap Ismail Sobri (kiri) untuk membincangkan status Piala Juara-Juara Belia di Istana Pahang, Jalan Persiaran Raja Chulan, semalam



PEMBABITAN Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kontroversi penganjuran Piala Juara-juara Belia (CYC), jelas adalah antara faktor yang membangkitkan rasa tidak puas hati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai penganjuran kejohanan itu.

Namun, badan induk itu tetap bersikap diplomasi mengenai hubungannya dengan konfederasi itu dan menafikan terdapatnya kekeruhan hubungan antara mereka walaupun setakat ini AFC masih berdiam diri mengenai kontroversi CYC.

Semalam, Presiden FAM Sultan Ahmad Shah sendiri menafikan kemungkinan terdapat keretakan hubungan antara FAM dan AFC, malah menegaskan kedua-dua pihak tetap mempunyai hubungan dua hala yang baik.

“Tidak ada masalah antara FAM dan AFC, saya kenal rapat dengan Mohamad Hammam (Presiden AFC) dan kami sentiasa mengadakan kerjasama yang baik demi kemajuan bola sepak Asia, ” titah baginda pada sidang media di Istana Pahang semalam.

Sikap membisu dan berpeluk tubuh AFC mengenai isu CYC jelas menimbulkan persoalan, walhal konfederasi itu yang mula menimbulkan kontroversi penganjuran CYC tahun ini apabila menawarkan bantuan kepada promoter CYC, Gifted Group.

Tindakan Gifted Group menerima pelawaan itu pula seolah `dihalalkan' Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerana dalam kontrak perjanjian di antara kedua-dua pihak itu yang bernilai RM17 juta setahun, - memberikan hak mutlak `dari segi teknikal dan penganjuran kepada Gifted.'

FAM kelihatan masih menghargai hubungannya dengan AFC, dengan tidak mengkritik mereka secara terbuka walaupun konfederasi itu kerap tidak mempedulikan kepentingan FAM dalam pelbagai isu, bukan saja membabitkan CYC.

No comments: