MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

5/28/08

Pembangkang setuju rujuk Sultan jawatan Majlis Agama Islam

PAKATAN Rakyat bersetuju Sultan sebagai ketua agama Islam negeri perlu dirujuk terlebih dulu berkaitan semua jawatan yang ada hubung kait dengan Majlis Agama Islam Negeri.

Mengikut kenyataan bersama yang ditandatangani tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang diedarkan kepada media di Parlimen, semalam, semua pihak harus menerima bahawa seseorang Menteri Besar mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan mana-mana pegawai eksekutif di negerinya.

"Namun bagi jawatan yang berkaitan dengan Majlis Agama Islam, Sultan sebagai ketua agama negeri, seharusnya dirujuk terlebih dulu," kata Wan Azizah ketika membacakan kenyataan itu di lobi Parlimen.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat menegaskan bahawa pendirian yang dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai isu pemindahan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, sebelum ini adalah berdasarkan perspektif undang-undang, bukannya bertujuan menghina Sultan Perak.

"Kami menerima penjelasan Karpal Singh bahawa beliau tidak bertujuan menghina Sultan. Kami berharap semua pihak akan menerimanya dan berhenti segera dari mengembar-gemburkan isu itu sehingga boleh menimbulkan ketidakstabilan dan ketegangan kaum," katanya.

Wan Azizah berkata, Pakatan Rakyat mendukung kedudukan Raja-Raja sebagai Raja Berperlembagaan, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami, pemimpin Pakatan Rakyat kesal dan bimbang kerana kontroversi melanda mengenai kuasa serta kedudukan Raja-Raja dipolitikkan secara besar-besaran oleh media," katanya.

1 comment:

Unknown said...

pembangkang dh nyatakan pendirian pasal ni.. camne lak dgn kerajaan??