MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

5/27/08

TINGKATKAN HUBUNGAN DAGANG MALAYSIA-LAOS

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, berharap hubungan dagang dua hala antara Malaysia dan Laos dapat ditingkatkan ke paras yang lebih tinggi di bawah dasar mesra perniagaan yang diamalkan kedua-dua kerajaan. Seri Paduka bertitah, untuk tujuan itu, kekerapan pertukaran lawatan di kalangan pemimpin, pegawai kerajaan dan rakyat kedua-dua negara perlu diteruskan dan digalakkan.

Jalinan hubungan dalam pelbagai bidang antara Malaysia dengan Laos sejak 42 tahun lalu juga perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan lagi menerusi pertemuan dan perbincangan dengan penuh semangat persefahaman dan persahabatan, titah Seri Paduka pada majlis jamuan makan malam negara yang dianjurkan Presiden Laos, Choummaly Sayasone dan isteri, Keosaychay Sayasone, di Loa Plaza Hotel, Vientiane, Laos.

“Beta percaya bahawa pengukuhan hubungan di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara turut menyumbang kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang penting dalam pertumbuhan ekonomi kedua-dua Negara. Ia merangkumi bidang seperti perdagangan, pelaburan, pelancongan, pembangunan sumber manusia, kewangan, perkhidmatan, pendidikan dan pertanian,” titah Seri Paduka

Dengan cara itu, baginda percaya lebih ramai lagi pedagang dan pelabur dari Malaysia akan datang ke Laos untuk meninjau peluang pelaburan yang menarik di negara itu. Tuanku Mizan bertitah, kunjungan yang dilakukan oleh baginda itu membuktikan bahawa Laos adalah sebuah negara sahabat yang penting bagi Malaysia dan ia jelas menunjukkan hasrat Malaysia untuk terus mempertingkatkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama yang sedia terjalin dengan baik.

Baginda turut melahirkan rasa kagum melihat kesungguhan serta kegigihan kerajaan dan rakyat Laos dalam usaha membangunkan negara untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran ekonomi.

“Dengan usaha gigih yang dilaksanakan, termasuk pelaksanaan Rancangan Lima Tahun yang keenam serta penambahbaik peraturan perdagangan dan iklim pelaburan di Laos, beta percaya hasrat negara Laos untuk menjadi sebuah negara sedang membangun pada 2015 pasti akan dapat dicapai,” titah baginda.
Pada akhir titah baginda, Tuanku Mizan turut menjemput Choummaly dan isteri untuk membuat lawatan balas ke Malaysia

No comments: