MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

5/25/08

Golongan muda disaran sertai pasukan polis- Sultan Pahang

RAUB: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyarankan golongan muda yang menganggur untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kerajaan mengawal keselamatan dan kedaulatan negara sekali gus mampu membendung masalah sosial.

Tambah pula, titah baginda, PDRM memerlukan lebih ramai anggota bagi mengisi kekosongan yang dianggarkan lebih 60,000 jawatan di seluruh negara.

"Saya seru golongan muda merebut peluang ini menjadi sebahagian daripada kerajaan dan tidak mahu mereka hanya duduk di rumah dan melepak tanpa pekerjaan. Daripada melepak dan membuang masa tanpa arah lebih baik mereka menyertai PDRM kerana gaji yang ditawarkan agak baik dan lumayan di samping dapat berbakti dengan menjaga keamanan dan ketenteraman awam serta negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Pahang.

Sultan Ahmad Shah bertitah, rakyat juga perlu bekerjasama dengan polis dalam mencegah jenayah dan memastikan keselamatan serta keamanan negara.

"Tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara tidak boleh dipikul pihak polis saja. Rakyat, agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil ke hadapan bagi memberikan maklumat dan bantuan menangani jenayah," titahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, baginda bertitah, kerajaan negeri Pahang sudah meluluskan tanah seluas 520 hektar (1,300 ekar) di Pelangai, Bentong bagi pembinaan kompleks latihan polis dan ketenteraman awam bersepadu.

"Setakat ini, kos pembinaan projek dan bila ia akan dimulakan belum diputuskan Kerajaan Pusat. Apa yang pasti sekarang, tanah untuknya sudah diluluskan. Selain kompleks latihan itu, saya juga berharap kerajaan Pusat dapat membina bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan mes pegawai PDRM di Kuantan kerana setakat ini polis Pahang belum mempunyai bangunan sendiri sedangkan di negeri lain PDRM sudah mempunyai kompleks IPK masing-masing,” titahnya.

Baginda juga meminta PDRM membina lebih banyak IPD, balai dan pondok polis bagi menggantikan bangunan lama yang sudah uzur.

“Ada bangunan ini yang dibina sejak merdeka dan masih digunakan sehingga kini," titah baginda.

No comments: