MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

6/7/08

BERTINDAK BIJAK HADAPI KENAIKAN HARGA BARANG - Tuanku Mizan

DAULAT TUANKU- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pastri Federal Hotel International, Md Zamri Awaludin mengenai keistimewaan kek dihadiahkan hotel itu pada majlis persembahan kek sempena hari ulang tahun keputeraan Seri Paduka, di Istana Negara, Kuala Lumpur.



Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru semua rakyat supaya bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak. Seri Paduka bertitah: "Jika perlu mungkin elok untuk kita mengubah suai gaya hidup bagi memastikan tekanan daripada masalah ini dapat dikurangkan."

"Beta akur bahawa masalah kenaikan harga ini sememangnya amat menekan kehidupan rakyat. Namun Beta berharap agar rakyat semua bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi situasi seumpama ini," titah Seri Paduka sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan menerusi RTM malam ini.

Tuanku Mizan mahu kerajaan terus memantau situasi itu dan mengambil segala tindakan bagi memastikan masalah dapat dikawal dan diatasi.

"InsyaAllah berkat kesabaran dan kebijaksanaan kita, masalah ini akan sama-sama kita atasi dan kita akan bertambah matang dan kuat untuk menjalani kehidupan seterusnya," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga menitahkan supaya pengurusan sumber petroleum negara diurus dengan cekap supaya kekayaan itu dapat terus diwarisi dan dinikmati oleh generasi akan datang. Titah Tuanku Mizan, jika bukan dalam bentuk asalnya, hasil yang diperoleh hari ini wajar dilaburkan dalam aspek lain seperti pembangunan prasarana supaya ia turut dinikmati generasi akan datang.

"Beta khuatir dan prihatin apabila dimaklumkan bahawa menjelang 2011, import petroluem negara akan lebih tinggi daripda eksport. Beta berpandangan bahawa adalah tidak adil jika kurniaan Tuhan ini kita perah dan manfaatkan hasilnya dengan sepenuhnya tanpa ditinggalkan sedikitpun untuk generasi akan datang," titah Seri Paduka.

Merujuk kepada sistem kehakiman negara, Seri Paduka mahu melihat sistem kehakiman wujud sebagai institusi yang bebas, adil dan diyakini rakyat. Seri Paduka menyambut baik sebarang usaha yang diambil untuk memperkasakan sistem kehakiman negara termasuk penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

"Beta percaya bahawa keanggotaan suruhanjaya ini nanti akan dipilih dari kalangan mereka yang relevan dan berwibawa agar kewujudan suruhanjaya ini akan benar-benar menepati aspirasi penubuhannya," titah Tuanku Mizan.

Yang di-Pertuan Agong juga prihatin dengan proses perbicaraan dan penghakiman yang mengambil masa lama dan berharap usaha pragmatik diambil agar segala kes yang dibawa ke mahkamah, terutama kes tertunggak, diselesaikan dengan segera.

Seri Paduka turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah dan pengambilan lebih ramai pegawai pencegah rasuah.

Tuanku Mizan juga yakin rancangan kerajaan untuk mengkaji semula Akta Percetakan dan Penerbitan Negara dapat memastikan media memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya
.

No comments: