MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

6/22/08

MELAYU PERLU KUAT - Jangan sampai terima nasib terpaksa musafir di bumi sendiri – Raja Nazrin

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas. Titah baginda, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

“Anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung,’’ titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu. Titah baginda, bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan dan mengekalkan tamadun agungnya adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah, malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu. Baginda bertitah, MCKK menjadi kampung cerdik pandai Melayu yang terpilih daripada kalangan yang paling cerdas berasaskan prestasi pencapaian akademik.

‘‘Di sinilah asuhan, di sinilah bimbingan dilakukan dalam usaha membina modal insan untuk meneruskan kelangsungan bangsa di bumi warisan turun temurun. Permata-permata bangsa ini diserahkan untuk digarap, dicanai oleh barisan para pendidik. Garap dan canailah permata-permata bangsa ini supaya dapat menyinar cahaya kepada bangsanya dan negara. Bisikkan kepada mereka akan petua orang- orang tua bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia.

‘‘Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dahulu lagi, terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah. Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya yang bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja. Dan keupayaan menghasilkan wira bangsa yang hebat berpencak di gelanggang dunia dapat dilaksanakan,’’ titah baginda.

No comments: