
RAJA Zarith Sofiah menunjukkan salah satu daripada koleksi diraja di bilik Seri Nilam, Istana Budaya
Isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris berharap raja dan kerabat dapat memberi sumbangan yang menjangkau peranan rasmi terutamanya melibatkan kebajikan rakyat. Baginda bertitah, pembabitan dalam aktiviti kemasyarakatan sama ada di peringkat nasional atau negeri akan membolehkan mereka dilihat sebagai benar-benar jujur menyertai kehidupan dan aspirasi rakyat.
''Dengan turun padang, mereka akan lebih prihatin dan memahami cara hidup dan pemikiran rakyat. Raja juga akan lebih dihormati dan mempunyai kedudukan mulia dalam hati dan sanubari rakyat jelata,'' titah baginda pada Pameran Seni dan Diraja 2008 di Istana Budaya.
Pameran yang merungkai keistimewaan golongan istana bakal disertai sembilan kerabat diraja seluruh negara yang mempersembahkan koleksi peribadi bertujuan mengukuhkan ikatan istana dengan rakyat jelata. Ia dianjurkan oleh Persatuan Pereka Bumiputera dengan kerjasama Yayasan Dunia Melayu pada awal Ogos depan.
Turut hadir Datuk Raja Mahkota Perempuan Perak, Tengku Nazhatul Shima Sultan Idris; Tengku Zalila Tengku Kamaruzzaman; Presiden Persatuan Pereka Bumiputera, Mahani Awang dan Pengarah Eksekutif Yayasan Dunia Melayu, Nisriwani Yahaya.
Raja Zarith Sofiah bertitah, kerabat diraja boleh memainkan peranan utama dalam bidang pendidikan bagi mempertingkatkan tahap kesedaran rakyat seperti belia dan wanita. Titah baginda, sebagai penaung masjid, institusi pengajian tinggi (IPT), kebudayaan dan kesenian, mereka boleh memperbanyakkan program dan aktiviti yang berasaskan pengetahuan.
''Bagi menangani cabaran moden yang dihadapi agama Islam di dalam dan luar negara, peranan raja dan kerabat menjadi lebih penting dalam menyatupadukan ummah terutamanya rakyat berbilang kaum dan agama. Dalam perkara ini, naungan yang lebih luas boleh dihulurkan kepada agama-agama lain dalam negara ini,'' titahnya.
No comments:
Post a Comment