MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

6/20/08

MELAYU RUGI BERPECAH

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu kerana ia boleh mendatangkan kesan yang merugikan masa depan kaum itu. Baginda bertitah, apabila orang Melayu tidak bersatu, mereka seolah-olah menyerah dan melepaskan kuasa yang ada dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam juga terpinggir.

Sehubungan itu, Tengku Mahkota menyarankan agar perpaduan Melayu digerak dan diusahakan tanpa berlandaskan sebarang fahaman atau ideologi politik. Dalam masa sama, baginda berharap, institusi raja Melayu tidak seharusnya dianggap musuh oleh pihak tertentu di negara ini sebaliknya perlu mempunyai semangat 'wujud bersama' bagi menjamin kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Tengku Mahkota Pahang bertitah, adalah tidak adil sesetengah pihak mempertikaikan peranan raja-raja Melayu kerana kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi negara ketika ini turut disumbangkan oleh golongan terbabit.

''Kita seharusnya memahami peranan kita sesama sendiri, bukan menjadikan institusi raja Melayu sebagai musuh pula. Saya berasa terkilan juga dengan pihak-pihak yang cuba mempersoalkan peranan raja-raja," titah baginda dalam satu wawancara yang disiarkan menerusi portal rasmi kerajaan negeri Pahang.

Baginda menegaskan, raja adalah penjaga negeri, pelindung hak orang Melayu dan ketua kepada semua kaum.

"UMNO patut mengambil kira tentang cara-cara untuk mengukuhkan institusi raja Melayu. Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak," titahnya.

Mengulas keadaan negara, tegas baginda, Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menunjukkan seolah-olah cita rasa dan buah fikiran rakyat sudah berbeza dan ini yang mungkin Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya tidak menyedari atau terlepas pandang.

No comments: