MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

6/19/08

SULTAN MAHU JUMPA PEMUDA PAS


Isu bantahan konsert Ella, Mas Idayu sebelum perlawanan persahabatan dibincang

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengadakan pertemuan dengan Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) bagi membincangkan isu bantahan konsert Ratu Rock, Ella dan Ratu Dangdut, Mas Idayu, yang akan diadakan sebelum perlawanan persahabatan Selangor-Singapura pada 6 Julai ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau sudah menghadap Sultan Selangor untuk berbincang mengenai isu itu dan baginda setuju bertemu dengan DPPS yang dijangka diadakan akhir bulan ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu menghentikan perlawanan persahabatan itu tetapi perlu mengambil kira pandangan DPPS yang tidak setuju pemilihan Ella dan Mas Idayu kerana cara berpakaian dan persembahan mereka melanggar tatasusila orang Melayu.

"Kita mendengar pandangan semua pihak dan yakin isu ini boleh diselesaikan dengan baik. Kita yakin DPPS tidak menghalang hiburan tetapi mahu ia diadakan secara tertib dan memelihara adat budaya orang Melayu.

"Acara hiburan diperlukan untuk menarik golongan muda menyertai sukan. Pas bukan menentang hiburan tetapi mahu ia diadakan secara tertib," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Semalam, akhbar melaporkan Sultan Sharafuddin memberi kata dua kepada kerajaan negeri sama ada meneruskan perlawanan persahabatan itu atau memindahkan perlawanan ke Singapura berikutan bantahan itu.

Sultan Sharafuddin dilaporkan bertitah demikian selepas DPPS mengancam mengadakan protes di depan Stadium Shah Alam pada hari perlawanan sebagai bantahan pemilihan dua artis itu.

DPPS mendakwa Ella dan Mas Idayu tidak memberi imej yang baik kepada umat Islam dan mencadangkan hiburan itu diganti dengan artis yang lebih bermoral.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Datuk Abd Karim Munisar, berkata beliau mempunyai pendirian yang sama dengan Sultan Sharafuddin.

Katanya, KDEB selaku penganjur Piala Sultan Selangor tidak ada masalah mengarahkan dua artis itu berpakaian dan berkelakuan lebih sopan ketika persembahan malam itu.

Ketua DPPS, Sallehin Mukhyi, berkata pihaknya tidak berniat menimbulkan kontroversi termasuk membuatkan Sultan Sharafuddin murka sebaliknya hanya mahu kerajaan Pakatan Rakyat mengkaji semula artis yang dipilih.

Beliau mencadangkan Mawi atau M Nasir yang banyak menyanyikan lagu berunsur nasihat dan membuat persembahan yang tidak melampaui batas.

Sallehin berkata, cadangan mengadakan perhimpunan aman jika konsert Ella dan Mas Idayu diteruskan hanyalah pandangan peribadi beliau dan bukan keputusan rasmi Pas.

No comments: