MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

6/22/08

Sultan Johor tegur tindakan ADUN DAP

Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail menegur tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan, Gwee Tong Hiang yang tidak mematuhi etika berpakaian semasa majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kelmarin.

Sultan Iskandar menyifatkan tindakan wakil rakyat DAP itu sebagai cuba menunjuk-nunjuk untuk menjadi 'jaguh'.

"Di sini kelmarin, ada yang tunjuk jaguh tak nak pakai baju (pakaian rasmi). Kalau nak (jadi jaguh), keluar dari sini (tunjukkan diri) sekarang," titah baginda semasa merasmikan pengisytiharan Daerah Kulai yang kini dikenali sebagai Daerah Kulaijaya, di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Johor, Sultanah Zanariah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan isteri, Raja Zarith Sofiah; dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abd. Latiff Yusof dan Pegawai Daerah Kulaijaya, Elias Hasran.

Tong Hiang tidak hadir pada majlis tersebut.

Pada pembukaan persidangan DUN Johor di Bukit Timbalan, Johor Bahru yang disempurnakan oleh Sultan Johor Khamis lalu, Tong Hiang dihalau keluar oleh Speaker, Datuk Mohd. Ali Hassan sebelum majlis bermula kerana tidak memakai pakaian rasmi.

Wakil rakyat DAP itu, yang hanya memakai kot dan tidak bersongkok, menyaksikan majlis pembukaan tersebut di luar Dewan.Tindakan Tong Hiang itu diselar pelbagai pihak kerana dianggap melampau dan tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan sejak sekian lama.

Sementara itu, Abdul Ghani yang ditemui pada majlis perisytiharan Daerah Kulaijaya sekali lagi mengingatkan semua wakil rakyat dan orang ramai supaya mematuhi peraturan berpakaian semasa menghadiri majlis-majlis rasmi yang disempurnakan oleh Sultan Johor.

"Bagi orang Melayu, mereka mesti memakai baju Melayu teluk belanga dan bersongkok, manakala yang bukan Melayu memakai kot dan bersongkok. Di istana, golongan wanita mesti bertudung. Rakyat juga perlu memakai pakaian berkenaan. Pada majlis perasmian persidangan DUN pula, semua wakil rakyat mesti memakai pakaian rasmi lengkap dan bersongkok," katanya.

Ditanya adakah Tong Hiang akan dikenakan tindakan seperti digantung daripada menghadiri persidangan DUN, Abdul Ghani berkata, tindakan telah dikenakan pada hari perasmian itu apabila beliau diarahkan keluar Dewan.

1 comment:

Awang Kata said...

Menafikan songkok bermakna seperti menafikan budaya Melayu yang merupakan pakaian kebangsaan negara.Kenapa sampai sanggup menidakkan budaya ini diteruskan di negara ini, orang Malaysia apa begini.Budaya bersongkok bukan budaya asing di negara ini. Ini dah jadi kes hina personaliti Melayu.Tahniah Sultan Johor kerana bertegas.