MEMORANDUM GENERASI MUDA MALAYSIA

‘MEMPERTAHAN PERLEMBAGAAN; MEMELIHARA KEDAULATAN; MENERUSKAN KEGEMILANGAN’

15HB MEI 2008

Usaha menandatangani memorandum generasi muda Malaysia adalah khusus dilaksanakan untuk menyatakan pendirian generasi muda berkenaan pelbagai isu yang berkait langsung dengan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang selama ini dinikmati di negara bertuah ini.

Berasa khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dari suasana politik untuk memulakan sikap biadab dan cenderung ke arah penghinaan langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu – yang menjadi elemen penting kepada kestabilan politik selama ini.

Atas dasar cinta Negara yang kukuh dan luhur – generasi muda Malaysia secara sepakat dan sepenuh hati ingin mengambil ketetapan berikut dengan menandatangani memorandum ini secara sukarela dan ikhlas hati tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum, iaitu :-

· MEMPERTAHAN dengan sepenuh hati dan kesungguhan – segala sifat dan amalan Rukunegara yang menjadi tiang seri kepada kestabilan Negara;
· MEMELIHARA kedaulatan institusi Raja berperlembagaan;
· MENERUSKAN usaha dan tanggungjawab untuk mempertahan kegemilangan dan kejayaan Malaysia selama ini;
· MENGHARGAI kemerdekaan dan nikmat pembangunan Negara;

Memorandum ini juga dengan secara jelas ingin mengusulkan perkara berikut:-

· MENYOKONG sebarang tindakan yang diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keharmonian kaum, agama dan institusi raja berperlembagaan;
· MENOLAK sama sekali amalan yang mampu mencetuskan ketegangan kaum;
· MEMUPUK perpaduan dan amalan nilai murni di kalangan generasi muda tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang;

Adalah menjadi harapan kami, generasi muda Malaysia agar pandangan dan komitmen kami ini diterima dengan hati yang terbuka. Memorandum dan suara generasi muda Malaysia ini seharusnya cukup memberikan bayangan bahawa kami tidak akan mudah diheret ke arah amalan politik kebencian dan penghinaan yang diamalkan sesetengah pihak.

Kami punya tanggungjawab dan peranan yang besar – dan tidak akan sesekali meletakkan masa hadapan kami di atas tangan mereka yang tidak menghormati amalan Perlembagaan dan asas Rukunegara.

Sekian.

6/15/08

Penceramah jemputan perlu rujuk Jais: Sultan

RASMI: Sultan Sharafuddin Idris Shah menurunkan tanda tangan pada plak Masjid Parit 4 Sungai Haji Dorani, Sungai Besar ketika merasmikan masjid itu


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu penceramah yang dijemput berceramah di surau dan masjid di Selangor, dirujuk terlebih dulu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Baginda bertitah, ia adalah untuk memastikan hanya penceramah bertauliah dibenarkan berceramah, memberi kuliah, berkhutbah dan mengajar di surau serta masjid.

“Jais juga perlu menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003), Seksyen 119 iaitu untuk tindakan mengajar tanpa tauliah,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Parit 4 Sungai Haji Dorani, di sini semalam.

Hadir sama Mufti Negeri, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Baginda juga berharap masyarakat Islam mencontohi konsep dan fungsi masjid pada zaman permulaan Islam. Sepatutnya masjid bukan sekadar tempat beribadat setiap hari tetapi perlu mampu menjadi pusat belajar dan pusat rujukan kepada sebarang masalah keagamaan yang dihadapi masyarakat. Kualiti masjid perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa terutama dalam aspek pengurusan, kewangan, sokongan moral, keilmuan dan kecekapan pegawai masjid, bangunan dan kemudahan masjid,” titah baginda.

Selain itu, baginda menasihatkan masyarakat Islam mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian seperti yang dituntut Islam terutama pada masa kini di mana harga barangan keperluan naik mendadak akibat kenaikan harga minyak.

“Beta menyeru rakyat Selangor sentiasa berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah supaya dapat menghadapi kenaikan harga barang ini dengan tenang dan sabar. Setiap rakyat perlu membeli atau mengutamakan barang yang benar-benar perlu saja bagi mengelakkan pembaziran,” titah baginda. Masjid berkenaan dibina pada 2005 bagi menggantikan masjid lama yang tidak mampu menampung pertambahan jemaah di sekitar kawasan itu terutama ketika solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

No comments: