Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, sistem penilaian dalam pendidikan yang terlalu taksub kepada prestasi pencapaian akademik semata-mata adalah bercanggah dengan hukum alam.Baginda bertitah, keadaan itu menyebabkan pandangan pendidikan menjadi kabur, tidak berfikiran jauh lalu gagal mentafsir falsafah pendidikan yang lebih luas lagi komprehensif.
Menurut baginda, sistem dan pendekatan pendidikan di negara maju memberikan ruang untuk berlakunya fleksibiliti bagi membangunkan potensi modal insan sejak usia awal.
''Negara maju tidak sekadar berjaya melahirkan cerdik pandai dan cendekiawan yang agung, malah di negara-negara maju jugalah lahirnya majoriti jaguh-jaguh agung di bidang sukan, seni, sastera, lakonan, teater, pereka fesyen dan bermacam-macam bidang lagi.Ini kerana masyarakat di negara maju mentafsir dan memahami secara lebih mendalam falsafah yang tersirat di sebalik khazanah alam yang tersurat ini, lalu menerima realiti kepelbagaian insan, memberikan segala dorongan, dan membina prasarana untuk tunas-tunas muda berbakat itu dapat berkembang,'' titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Cemerlang Tahun 2008 Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati, Setapak di sini hari ini. Pada majlis itu, Raja Nazrin turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 untuk tabung pembangunan sekolah itu. Turut berangkat ialah isteri baginda, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang menyampaikan anugerah kepada 45 pelajar dan 36 guru subjek.
Raja Nazrin bertitah, sekolah perlu menjadi tapak semaian untuk membangunkan pelbagai bakat, mengiktiraf pelbagai potensi serta mengembangkan pelbagai minat pelajar.
''Sekolah hendaklah berperanan sebagai dusun yang membolehkan semua pohon tumbuh subur membuahkan hasil. Setiap anak didik perlu diiktiraf kebolehan dan keupayaan mereka kerana setiap mereka ada peranannya dalam masyarakat dan dalam negara," titah baginda.
Baginda menegaskan, setiap individu mempunyai peranan penting malah setiap pekerjaan halal adalah mulia. Titah baginda, negara dan dunia tidak dapat berfungsi sepenuhnya jika kesemua warga dunia menjadi profesor di universiti.
''Jika kesemua insan telah menjadi profesor di universiti, siapakah pula yang akan menghasilkan padi di sawah dan mengeluarkan kapas untuk membuat pakaian?'' titah baginda.